Thursday, April 22, 2010

Belgium negara pertama haramkan purdah

ANTWERP 16 April - Belgium akan menjadi negara Eropah pertama mengharamkan pemakaian purdah atau burqa dan beberapa pakaian Islam lain yang menutup tubuh serta muka wanita.

Negara jirannya, Perancis dan Belanda juga akan melakukan langkah sama terhadap pakaian yang dilihat Barat sebagai merendahkan martabat wanita dan laluan kepada Islam radikal, kebimbangan yang mencetuskan sentimen pelampau kanan di benua ini.

"Terdapat sokongan semua pihak dalam hal ini," kata anggota konservatif jawatan kuasa Hal Ehwal Dalaman Parlimen Belgium, Leen Dierick yang menyokong usul pengharaman 31 Mac lalu.

Inisiatif ini dijangka diluluskan sebagai undang-undang Julai ini dan akan dikuatkuasakan di semua tempat awam termasuk jalan raya.

Kerisauan Islam akan menghakis identiti kebangsaan disertai dengan aduan pendatang merebut peluang kerja ketika kemelesetan ekonomi terburuk sejak berdekad lamanya, memburukkan lagi keadaan di kebanyakan negara Eropah baik besar ataupun kecil mengenai peranan orang Islam dalam masyarakat.

Ancaman ke atas kartunis dan artis mengenai gambaran Nabi Muhammad turut meningkatkan kebimbangan kononnya, Islam tidak selari dengan nilai Barat yang mempromosikan kebebasan bersuara.

Naib Presiden Eksekutif Islam Belgium, Isabelle Praile berkata, pengharaman burqa ini disasarkan ke atas hanya beberapa wanita.

"Ia sebenarnya menggambarkan ketakutan terhadap orang Islam. Ini adalah Islamofobia," katanya lagi.

Menurutnya, isu yang lebih menekan bagi penduduk Islam di Eropah adalah ekonomi, kos sara hidup dan rumah yang selesa dan bukan pengharaman burqa.

Pengundi Switzerland baru-baru ini sebulat suara mengharamkan menara masjid baru. Beberapa tahun kebelakangan ini, pembinaan masjid dan menaranya di negara Eropah seperti Sweden, Perancis, Itali, Austria, Greece, Jerman dan Slovenia mencetuskan protes yang kadangkala bertukar ganas.

Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy juga mahu burqa diharamkan atas alasan ia merendahkan maruah wanita. Tidak seperti Belgium atau Belanda, Perancis berdepan masalah untuk mengharamkan kod pemakaian sesuatu agama.

Di Belanda, tinjauan pendapat menunjukkan Parti Kebebasan yang anti-Islam pimpinan Geert Wilders mungkin mendapat tiga ganda lebih banyak kerusi dalam pilihan raya Jun ini, berbanding hanya sembilan sekarang. - AP

No comments: