Tuesday, July 28, 2009

Greenwood hilang seri

Sumber:Utusan Malaysia

GOMBAK 27 Julai - Pada satu ketika dahulu, Taman Greenwood di sini merupakan kawasan penempatan yang menjadi pilihan ramai kerana lokasinya yang strategik.

Berikutan kedudukannya itu, kawasan itu dijadikan perhentian utama pengangkutan awam yang menyediakan perkhidmatan ke Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya seperti Batu Caves dan Selayang.

Turut menjadikan Taman Greenwood sebutan ramai adalah kerana bazar Ramadan di situ merupakan antara yang terbesar dan menjual pelbagai pilihan jenis juadah yang sukar diperoleh di luar bulan puasa.

Namun kini, keadaan di Taman Greenwood tidak lagi seperti dahulu. Pembangunan menyebabkan keadaan persekitarannya menjadi sesak dan padat.

Tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini mendapati suasana sesak jelas terasa sebaik memasuki persimpangan dari arah Taman Sri Gombak ke persimpangan masuk ke kawasan itu.

Kesesakan lalu lintas di persimpangan masuk ke Greenwood itu sudah bertahun-tahun dialami oleh penduduk.

Walaupun lampu isyarat sudah disediakan sejak setahun lalu, namun keadaan di situ tidak banyak berubah dan menjadi terlalu sesak pada waktu puncak.

Selain pembangunan di sekitar kawasan itu, keadaan tersebut berlaku kerana simpang itu turut menjadi pintu masuk utama ke beberapa taman perumahan lain termasuk Taman Gombak, Taman Berjaya, Taman Melewar, Taman Koperasi Polis 1 dan Greenwood Indah.

Tinjauan juga mendapati keadaan di perhentian bas di situ sangat sesak. Susur keluar bas didapati terlalu sempit dan reka bentuk laluan menyukarkan pergerakan bas-bas yang bersaiz besar.

Pengguna bukan sahaja terpaksa menelan asap tetapi juga bunyi bising enjin bas yang menunggu pelanggan lebih menghangatkan suasana. Bagaimanapun, Utusan Malaysia dimaklumkan oleh salah seorang pemandu bas bahawa mereka hanya menunggu kurang 15 minit di situ bagi mengelakkan kesesakan di kawasan itu.

Penduduk mendakwa, kesesakan di kawasan itu bukan sahaja disebabkan oleh kenderaan persendirian yang semakin bertambah tetapi juga deretan bas ekspres ke Pantai Timur yang beratur panjang menunggu penumpang di kawasan itu.

Penduduk berkata, terminal sementara bas ekspres yang menjadi salah satu punca kesesakan di kawasan itu wajar dialih ke tempat lain dengan segera.

Turut mencuri perhatian ialah sebuah tandas awam di perhentian berkenaan yang sedikit masa dahulu pernah mencetuskan kontroversi apabila mengenakan caj 30 sen untuk menggunakan kemudahan itu.

Pujian harus diberikan kerana usaha pihak pengurusan tandas itu menanam pokok-pokok bunga di kawasan persekitarannya. Namun, akibat tidak dijaga dengan baik, daun-daun kering dilihat terbiar di dalam longkang tanpa dibersihkan sehingga menimbulkan rasa kurang senang penduduk tempatan.

Mereka mendakwa, keadaan itu bukan sahaja boleh menyebabkan longkang tersumbat tetapi turut memburukkan lagi persekitaran perhentian bas berkenaan.

Tinjauan di deretan medan selera di situ pula mendapati persekitarannya agak kotor dan berbau yang berpunca dari longkang yang tidak lancar aliran airnya dan tong sampah yang diletakkan di tepi jalan.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) perlu sering turun padang memandangkan banyak perkara yang wajar diberikan perhatian bagi menjadi kawasan berkenaan lebih selesa. Sementara itu, penduduk di situ berkata, perhentian bas berkenaan perlu dinaik taraf bagi memberi keselesaan kepada orang ramai, terutama pengguna pengangkutan awam.

Abdul Munir Zainal, 73, berkata, terdapat cadangan menaik taraf kawasan tersebut sebelum ini, namun sehingga ke hari ini, ia seolah-olah janji tinggal janji.

Katanya, sebagai penduduk terawal di kawasan itu, dia mengakui masih banyak kemajuan perlu dilakukan terutama di kawasan perhentian bas.

Bagi Milah Anuar, 41, pula, sebagai pengguna pengangkutan awam, dia lebih melihat keselesaan menjadi faktor utama.

Katanya, selain jadual perjalanan bas yang teratur, kemudahan yang terdapat di perhentian bas juga perlu diperbaiki.

"Saya melihat persekitaran di perhentian bas ini masih banyak perlu dipertingkatkan. Selain ruang menunggu yang lebih selesa, persekitarannya juga perlu bersih dan teratur,'' ujarnya.

Pendapat Milah dipersetujui Mansor Amin, 26, yang berharap agar pihak berkuasa tempatan mengambil langkah wajar dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna pengangkutan awam.

No comments: